Powered by Blogger.
RSS

7 Petua Memikat Hati Guru


SUMBER DARIPADA : http://www.osmanaffan.com/


7 Petua Memikat Hati Guru

Pembuka kata
Pernahkah anda dengar pelajar merungut, “Cikgu tu tah apa-apa tah….. pilih kasih…. kalau si Leman tu, apa dia buat semua ok…. kalau aku ni, ada je benda tak kena….. pilih kasih betul…….”
Rungutan begini selalunya datang daripada pelajar yang iri hati melihat sesetengah pelajar lain rapat hubungan dengan guru mereka. Adakah anda juga begini? 
Katakan memang?ada guru yang pilih kasih dan melebih-lebihkan sesetengah pelajar, adakah anda akan merungut jika anda yang menjadi anak murid kesayangan guru itu? Tentu tidak bukan? Apa yang ingin saya katakan ialah, guru pilih kasih adalah perkara biasa. Ia tidak bermaksud guru itu pilih kasih pada sesetengah pelajar hingga menganiaya pelajar lain. Saya percaya semua guru sayangkan anak muridnya. Cuma, disebabkan guru juga adalah manusia biasa, mereka akan lebih menyayangi beberapa anak murid yang memenuhi beberapa kriteria pilihan mereka.
Pentingkah anda memikat hati guru anda? Apa untungnya jika guru anda mengasihi anda? Saya beri satu contoh mudah. Katakan anda diminta mengajar dua anak saudara anda yang beberapa tahun lebih muda. Anak saudara yang pertama suka mendengar kata anda. Dia membuat apa yang anda suruh semasa sesi pembelajaran dan memberi sepenuh perhatian kepada anda semasa anda mengajar.
Anak saudara yang kedua pula tidak boleh duduk diam semasa sesi pembelajaran. Semasa anda sibuk mengajar, dia sibuk mengasah pensel, mencari buku, melukis kartun dan sebagainya. Apabila anda suruh buat latihan, dia merungut dengan mengatakan bahawa dia tidak faham apa yang anda ajarkan.
Soalan saya, anak saudara mana yang anda akan lebih suka? Mudah bukan? Soalan saya lagi, jika anda rasa anak saudara anda suka mendengar apa yang anda ajar, apakah anda akan semakin bersemangat untuk mengajarnya? Sudah tentu bukan?
Jadi, anda perlu tau serba sedikit bagaimana mahu mengambil hati atau memikat hati seorang guru. Ini tidak bermaksud anda mahu mempermainkan mereka. Memikat hati guru bertujuan agar ilmu anda lebih diberkati dan anda akan lebih mudah faham apa yang diajarkan. Inilah objektif utama mengapa anda perlu tahu beberapa petua untuk memikat hati seorang guru. Kita akan mulakan dengan petua yang pertama esok. 
Petua 1
Petua pertama adalah petua yang paling penting. Untuk memikat hati guru anda, anda perlu belajar dalam keadaan ‘Gelas yang kosong‘. Apakah maksud saya ini?
Belajar dalam keadaan gelas yang kosong ialah anda perlu rasa rendah diri dan buka minda anda untuk menerima apa yang diajarkan oleh guru anda. Banyak ketikanya saya lihat pelajar datang ke sekolah, kolej, universiti, seminar atau bengkel dalam keadaan gelas yang penuh. Ini bermaksud, mereka rasa mereka tahu banyak perkara berbanding kawan-kawan sebaya mereka malah mereka juga rasa mereka lebih tahu daripada guru mereka.
Apa akan jadi jika air dituangkan ke dalam gelas yang penuh? Ya….. air yang dituang itu akan tumpah. Malah, air yang ada di dalam gelas yang penuh itu juga akan turut mengalir keluar. Jika anda tidak percaya, cuba isikan air sirap kedalam sebiji gelas hingga penuh. Tuangkan air masak ke dalam gelas itu. Biarkan air yang melimpah keluar. Lama-kelamaan, anda akan lihat gelas yang berwarna merah disebabkan air sirap itu akan lama kelamaan menjadi putih.
Apa yang ingin saya katakan ialah jika anda datang ke majlis ilmu dengan perasaan anda lebih mengetahui, anda tidak akan pelajari sesuatu yang baru. Malah ilmu yang ada pada anda juga akan jadi semakin susut dan tidak bernilai. Apa kena-mengena petua ini dengan memikat hati guru?
Guru sangat mudah mengesan jika anda datang kepada mereka dengan gelas yang penuh. Orang yang datang dengan gelas yang penuh boleh dikesan melalui percakapannya, soalannya dan juga cara mereka duduk dalam sesuatu majlis ilmu itu. Apabila seorang guru dapat mengesan orang-orang begini, selalunya guru akan cuba mengalihkan perhatian kepada anak murid yang lain. Ini adalah supaya guru dapat mengekalkan semangat mereka untuk mengajar dan emosi mereka tidak terganggu dengan pelajar gelas penuh ini. (Jika anda rasa kurang yakin bahawa seorang guru boleh mengesan pelajar gelas penuh ini, cuba tanya kepada mana-mana guru atau trainer yang anda kenal.  ? )
Sebaliknya, jika anda datang dengan gelas yang kosong, guru akan dapat mengesan bahawa anda datang dengan niat mahu belajar. Saya sendiri, saya sangat suka melayan pelajar yang ada niat mahu belajar. Mereka ini selalunya bersedia untuk mendengar nasihat bagaimana mahu memajukan pelajaran mereka. Untuk pelajar begini, seorang guru sanggup berkorban masa dan tenaga untuk membantu.
Apa yang perlu anda lakukan sekarang? Ada beberapa perkara:
  • Betulkan niat anda untuk betul-betul belajar. Anda perlu ingat, orang yang bijak adalah orang yang mempunyai kebolehan untuk mempelajari sesuatu dengan baik, bukan orang yang suka menunjukkan kepandaian mereka.
  • Elakkan daripada memalukan guru anda dengan menunjukkan kepandaian anda. Contohnya, ada kalanya guru membuat kesilapan seperti membuat kiraan yang salah di depan kelas. Jika anda mahu betulkan kesalahan itu, betulkan dengan cara yang sopan agar tidak menjatuhkan air muka guru tersebut.
  • Dengar nasihat dan cadangan guru anda tentang bagaimana cara untuk memajukan diri anda.
Selamat mencuba. 
Petua 2
Petua kedua untuk memikat hati guru anda ialah, tawarkan bantuan anda apabila mereka memerlukannya. Sebagai contoh, disekolah selalunya anda dapat lihat guru terpaksa bawa banyak buku ke bilik mereka. Ada ketikanya, guru akan meminta pertolongan pelajar. Ada ketikanya, guru tidak meminta dan cuba membawa sendiri.
Peranan anda disini ialah menawarkan bantuan tanpa disuruh. Kebanyakan pelajar akan menolong guru mereka tetapi mereka menunggu hingga disuruh. Jika guru mereka tidak berkata apa-apa, mereka juga akan mendiamkan diri dan melihat sahaja guru mereka bersusah payah membawa buku-buku tersebut.
Apabila anda tawarkan pertolongan kepada guru anda, hati mereka akan jadi lembut kepada anda. Bayangkan, ketika anda dalam kesusahan dan seseorang menawarkan pertolongan tanpa diminta, apakah yang akan anda rasa?
Budaya dan cara pemikiran kita di Malaysia terutamanya, kita mudah rasa rapat kepada seseorang yang suka menolong kita. Tentu anda pernah mendengar ungkapan ini, ‘Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa’.
Mulai hari ini, jangan menunggu disuruh untuk membantu. Bantuan anda ini adalah satu cara yang sangat berkesan untuk memikat hati guru anda. 
Petua 3
Petua ketiga untuk memikat hati guru ialah ‘timbulkan minat untuk belajar’. Jika saya tanya anda, apakah fungsi dan peranan seorang guru?…….. tentulah untuk mengajar bukan? Jika anda mempunyai minat untuk belajar, anda akan membuat guru anda mampu memenuhi peranan mereka.
Saya banyak mendengar rungutan pelajar mengatakan bahawa kebanyakan guru lebih suka mengajar di kelas-kelas elit atau kelas utama di sesebuah sekolah. Kata pelajar ini, guru suka mengajar mereka kerana mereka sudah pandai dan senang diajar. Saya percaya tanggapan ini kurang tepat.
Saya boleh percaya bahawa guru lebih suka mengajar kelas elit namun ia bukan kerana?pelajar itu semua?sudah pandai dan memudahkan kerja guru. Sebab utamanya ialah pelajar di kelas elit selalunya menunjukkan semangat dan keinginan untuk belajar yang tinggi. Mereka begitu berminat untuk belajar dan dengar dengan bersungguh-sungguh apa yang guru mereka ajarkan. Apabila pelajar menunjukkan rasa minat untuk belajar, guru akan bertambah minat untuk mengajar.
Susahkah untuk menunjukkan minat untuk belajar? Hmmm…. mungkin susah jika anda langsung tidak berminat untuk belajar. Soal diri anda sendiri, mengapa anda perlu belajar dan mengapa anda perlu kuasai apa yang mahu anda pelajari? Jika anda tidak boleh minat kepada apa yang guru anda ajarkan, anda tidak boleh memikat hati mereka.
Mulai hari ini, timbulkan rasa minat anda pada apa yang anda pelajari. Cari sebab mengapa anda perlu suka apa yang anda pelajari. Fikirkan bagaimana anda boleh gunakan apa yang anda pelajari sekarang dan di masa hadapan. Buat semua kerja dan latihan?yang guru anda suruh. Ini dapat menunjukkan kesungguhan dan minat anda.
Selamat mencuba. 
Petua 4
Petua keempat untuk memikat hati guru ialah ‘tumpukan sepenuh perhatian’semasa guru sedang mengajar. Hmmm… saya percaya anda tentu pernah mendengar tentang petua ini. Namun, tahukah anda bagaimana caranya untuk memberi sepenuh tumpuan? Tahukah anda tumpuan bagaimanakah yang akan membuat hati guru terpikat kepada anda?
1. Perkara yang paling penting untuk anda amalkan mulai hari ini ialah, apabila guru anda mula mengajar, berhenti daripada melakukan perkara lain. Bila saya kata berhenti, maksudnya berhenti semua sekali aktiviti yang boleh mengganggu konsentrasi anda semasa belajar. Berhenti daripada mencari pen atau pensil, berhenti mencari buku, berhenti mengalihkan kedudukan meja, berhenti bercakap dengan kawan di sebelah, berhenti membetulkan kedudukan rambut anda, berhenti makan gula-gula dan sebagainya. Pendek kata, 100% perhatian anda mesti diberikan kepada guru anda.
Kesan utama amalan ini ialah anda tidak akan terlepas apa-apa penerangan daripada guru anda. Selalunya, 5 hingga 10 minit pertama dalam sesi pembelajaran adalah yang paling penting. Ini kerana, jika anda terlepas penerangan awal, anda akan terus tidak faham hingga ke akhirnya. Sama seperti apabila anda menonton tayangan gambar, apa akan jadi jika anda terlepas permulaan cerita itu? Adakah anda akan faham cerita itu?
Menurut pengalaman saya sendiri sebagai guru, saya akan merasa marah apabila pelajar sibuk dengan perkara lain semasa saya mula mengajar. Ini kerana, apabila tiba masa membuat latihan nanti, pelajar-pelajar inilah yang akan merungut dengan perkataan ’susah’, ‘pening’, ‘tak faham’, ‘ tak boleh buat’ dan sebagainya. Apa yang membuat saya marah ialah, mereka tidak faham bukan kerana mereka tidak ada kebolehan untuk memahami tetapi kerana mereka mempunyai tabiat yang tidak mahu memberikan tumpuan. Pelajar-pelajar ini selalunya akan mengganggu konsentrasi pelajar lain pula.
2. Memberikan tumpuan tidak bermakna anda hanya duduk diam tidak bersuara. Anda boleh bertanya jika anda kurang faham. Angkat tangan dan tanya dengan sopan tentang apa yanganda tidak faham. Seorang guru yang baik akan menjawab soalan anda dengan sopan juga dan bantu anda untuk memahami apa yang sedang diajarkan.
3. Beri tumpuan dengan cara duduk yang betul. Bayangkan bagaimana cara seorang yang malas duduk belajar. Tentu dia kelihatan tidak selesa bergerak ke sana ke sini dan menyandar di kerusi seperti sedang letih dan mengantuk bukan? Jika guru melihat anda duduk dengan cara ini semasa belajar, guru akan rasa ada tidak berminat dan tidak menumpukan perhatian kepada apa yang diajarkan. Jadi, jangan duduk begini. Bayangkan cara duduk seorang pelajar cemerlang. Mereka selalu duduk dengan selesa, tegak dan tubuh mereka ke depan sedikit (tidak menyandar). Bayangkan.
Hanya dengan mengubah cara anda duduk sebenarnya sudah boleh memikat hati guru anda kerana anda kelihatan benar-benar mahu belajar. Adapelajar yang bertanya saya mengapa guru tidak suka mengajar pelajar yang tidak pandai? Sebabnya bukan kerana pelajar itu susuah diajar tetapi ada kemungkinan pelajar itu tidak menunjukkan rasa minat dan tidak menunjukkan yang dia menumpukan perhatian kepada apa yang diajarkan. Selamat mencuba.
p/s Saya pernah lihat pelajar yang bersandar ke kerusi (seperti seorang bos sedang menemuramah pekerja) semasa bertanya soalan kepada cikgunya. Cara duduk begini semasa mengajukan soalan membuat pelajar itu kelihatan seperti seorang yang sombong dan berlagak di depan gurunya, walaupun saya percaya pelajar itu tidak bermaksud begitu. Jika anda mahu tanya soalan semasa duduk, tegakkan badan, gerakkan tubuh anda kedepan sedikit (lean forward) dan tanya soalan dengan sopan.
Selamat mencuba. 
Petua 5
Petua kelima untuk memikat hati guru anda ialah elakkan daripada melakukan sesuatu yang guru anda larang. Guru anda sudah pasti lebih banyak pengalaman berbanding anda terutamanya dalam bidang yang diajarinya. Apabila guru anda melarang anda daripada melakukan sesuatu, ikut nasihatnya.
Contoh paling mudah, jika guru anda suruh anda diam semasa dia mengajar, anda perlu diam. Mengapa? Jika anda tidak diam, tentu susah untuknya mengajar. Apabila dia rasa susah untuk mengajar, tentu susah juga baginya untuk membuat anda faham.
Kadangkala ada pelajar yang suka bergurau dengan melawan cakap gurunya. Guru kata jangan sentuh benda ini, pelajar itu akan semakin seronok untuk menyentuhnya. Semakin guru marah, semakin dia mempersendakan gru dengan cuba menyentuh benda tersebut. Jika anda yang jadi guru ketika itu, apakah perasaan anda?
Untuk pengetahuan anda, apa yang guru anda larang selalunya adalah bertujuan baik untuk anda. Jika anda mahu memikat hati guru anda supaya anda rapat dengannya dan mudah untuk memahami apa yang diajarnya, elakkan daripada melakukan perkara yang dilarangnya.
Bagi saya, petua ini adalah petua yang paling mudah difahami tetapi ia juga petua yang paling susah diamalkan oleh pelajar. Ini adalah kerana apa yang pelajar suka selalunya adalah apa yang guru tidak suka. Contohnya guru tidak suka pelajar bising dalam kelas, tetapi pelajar sangat suka membuat bising di dalam kelas. Guru sangat melarang pelajarnya daripada meniru tetapi pelajar sangat suka meniru kerana ia kerja mudah bagi mereka.
Jadi, mulai hari ini, lihat semula, adakah anda suka melakukan sesuatu yang dilarang oleh guru anda? Jika ada, berhenti lakukannya serta-merta jika anda berniat untuk memikat hati guru anda.
Selamat mencuba. 
Petua 6
Petua keenam dalam memikat hati guru anda ialah satu petua yang selalu anda dengar, ‘hormati guru anda’. Namun, berapa ramaikah anak murid yang benar-benar menghormati guru mereka?
Kebanyakan pelajar yang saya temui agak kurang pasti apa maksudnya menghormati guru ini. Adakah ia bermaksud anda mesti dengar semua cakap guru anda walaupun ia tidak betul? Adakah anda perlu menerima bulat-bulat apa yang mereka katakan? Adakah anda mesti setuju dengan semua tindakan mereka dan jangan sekali-kali mempersoalkan apa yang mereka lakukan?
Begini, kita perlu lihat petua ini dari satu sudut yang mudah. Kita perlu menghormati guru kita seperti kita menghormati seseorang yang pernah terhutang budi. Jika ada seseorang yang pernah menolong anda ketika anda benar-benar dalam keadaan susah, bagaimanakah cara anda melayan orang itu? Tentu dengan baik sekali bukan?
Begitu juga dengan guru. Selain daripada ibu bapa, guru adalah insan yang utama yang paling berbudi kepada kita. Kalau guru saya tidak mengajar saya matematik dengan betul sewaktu saya dalam darjah satu dahulu, sudah tentu saya masih tidak pandai mengira sekarang. Tentu anda setuju.
Jadi, apa yang perlu anda lakukan untuk menunjukkan rasa hormat kepada guru anda?
  • Paling mudah, beri perhatian apabila guru anda bercakap sama ada di dalam kelas atau semasa dia sedang bercakap dengan anda. Jangan ambil hati teguran mereka walaupun ia mungkin berbunyi kasar dan menyakitkan hati. Saya percaya guru anda tidak ada langsung niat buruk dengan kata-kata mereka.
  • Ceriakan diri anda semasa guru anda sedang mengajar dalam kelas. Duduk seperti seorang pelajar ceria yang seronok berada dalam kelas. Jika anda kelihatan, guru anda akan rasa anda tidak suka kepadanya atau tidak suka apa yang diajarnya. Ini juga akan membuat mereka rasa anda tidak hormat kepadanya. Bayangkan rungutan guru yang berbunyi?begini, “Huh, budak tu, bila saya masuk kelas nak mengajar je mula la dia tunjuk muka bosan. Buat tak tahu je bila saya masuk kelas. Tak ada rasa hormat langsung!’.
  • Latih gunakan suara dan intonasi yang berbunyi mesra. Kadangkala pelajar tidak sedar bahawa gaya mereka bercakap berbunyi agak biadab dan tidak sopan. Ini disebabkan oleh tabiat bercakap yang tidak baik setiap hari. Tanya kawan anda sama ada cara anda bercakap berbunyi sopan atau biadab. lebih baik lagi, tanya guru anda sendiri sama anda pernah bercakap dengan nada yang tidak sesuai dengan mereka.
  • Tanya soalan jika anda tidak faham. Jika selepas bertanya soalan di dalam kelas dan anda masih tidak faham, cari peluang untuk berjumpa dengan guru anda secara bersemuka. Selalunya, anda akan belajar dengan lebih baik apabila mendapat perhatian penuh daripada guru anda. Dalam masa yang sama, guru anda akan rasa anda benar-benar mahu belajar dan suka belajar daripadanya.
  • Jangan bergurau berlebihan dengan guru anda. Tidak salah bergurau dengan seorang guru tetapi anda tidak boleh samakan bergurau dengan guru dan bergurau dengan kawan. Ia akan kelihatan biadab dan mungkin menjatuhkan air muka guru atau membuat mereka tersinggung.
Satu kelebihan jika anda menghormati orang lain tidak kira mereka guru atau tidak. Ingat, jika anda hormat orang lain, orang lain juga akan hormati anda. Jika anda mahu dihormati, anda mesti menghormati orang terlebih dahulu.
Petua 7
Petua yang terakhir ini mungkin berbunyi agak pelik sedikit. Jika petua kedua menyatakan bahawa anda perlu tawarkan bantuan kepada guru anda untuk memikat hati mereka, petua ke tujuh ini mengatakan bahawa anda perlu ‘minta bantuan’ daripada guru anda untuk memikat hati mereka.
Adakah anda boleh lihat mengapa perlu minta bantuan untuk memikat hati guru? Begini,?secara umumnya?guru datang ke sekolah dengan niat untuk membantu anak-anak muridnya mencapai kejayaan dalam bidang akademik dan kejayaan dalam hidup. Bagi saya tidak ada guru yang mahu anak muridnya gagal. (Kalau ada, saya tidak panggil orang itu dengan nama guru). Jadi, apabila anda minta bantuan mereka, mereka akan sedia membantu. Dan apabila mereka membantu anda, hubungan anda dengan guru tersebut akan jadi semakin rapat.
Bantuan tidak semestinya dalam bidang akademik. Jika anda ada masalah peribadi dan perlukan nasihat guru anda, saya percaya guru anda pasti bersedia untuk memberi nasihat.
Namun anda perlu ingat, minta bantuan hanya untuk memajukan diri anda dan tidak terlalu menyusahkan guru anda. Bila saya kata minta bantuan guru anda, jangan pula anda bersiap sedia untuk meminta duit pula daripada guru anda.  ? Ada permintaan pelajar yang bersifat terlalu peribadi dan menyusahkan guru mereka. Ada yang minta guru mereka menghantar mereka ke sana ke mari dengan kereta guru tersebut.
Ada pelajar yang meminta guru membelikan mereka sesuatu sedangkan mereka tahu tempat tinggal guru itu jauh daripada tempat barang tersebut. Ringkasnya, jangan jadikan petua in sebagai alasan untuk mengambil kesempatan ke atas guru anda. Jika anda lakukan ini, bukan sahaja anda akan gagal memikat hati guru anda, malah anda akan semakin dijauhi.
Mulai hari ini, jangan merasa segan untuk meminta bantuan daripada guru anda berkenaan pelajaran atau nasihat untuk masa depan anda. hargai segala pertolongan yang guru anda berikan. Jangan mengeluh atau memandang rendah kepada apa sahaja pertolongan yang mereka berikan walaupun kecil.
Selamat mencuba.
Kesimpulan
Alhamdulillah. Saya telah kongsikan bersama anda 7 petua untuk memikat hati guru anda. Mungkin anda ada tertanya-tanya, adakah cuma ada 7 petua sahaja untuk memikat hati guru?
Hmm…. sebenarnya banyak lagi. Namun, tidak ada gunanya kalau kita pelajari semuanya jika kita tidak mampu mengamalkan 7 petua yang mudah ini. Satu perkara lagi yang anda mungkin terfikir, adakah 7 petua yang begitu mudah ini, dan mungkin orang semua sudah tahu ini, boleh membantu anda memikat hati guru anda?
Jika anda tanya saya, saya akan kata Ya, ia boleh memikat hati guru anda. Mari kita ulang kembali mengapa kita perlu memikat hati guru kita. Jika kita boleh memikat hati mereka,
  • Guru akan lebih bersemangat untuk membantu kita mencapai kejayaan.
  • Guru akan dapat rasa kesungguhan kita untuk belajar lalu mereka akan bantu kita dengan sepenuh hati mereka.
  • Guru juga juga manusia biasa. Jika jauh hati mereka daripada kita, jauh jugalah peluang kita untuk mendapat sebanyak manfaat daripada apa yang mereka ajarkan.
  • Kita akan mendapat lebih berkat daripada ilmu yang guru ajarkan. Petua ini semua menekankan agar kita hormat dan dengar nasihat guru. Jika kita lakukan itu semua, peluang untuk kita ingat apa yang diajarkan adalah lebih besar.
  • Kita akan pandai menyesuaikan diri dalam suasan majls ilmu. Jika anda pandai memikat hati guru, anda akan mudah pelajari sesuatu dengan sangat cepat tidak kira di mana sahaja anda menuntut ilmu.
Selamat mencuba petua-petua ini dan selamat berjaya!

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS